|
Asal muzik tradisional Melayu tidaklah terasing daripada muzik bangsa lain, tetapi merupakan sebahagian dari khazanah muzik dunia. Kita 'pinjam' zapin, sarah dan samrah dari negeri2 Timur Tengah, joget, ronggeng dan joget moden (mambo, rhumba, chacha) dari benua Eropah, ghazal dari benua kecil India dan juga Pakistan (walaupun ghazal asalnya dari Parsi - yang dikenali sebagai Iran masakini), keronchong dari negeri Belanda dan sebagainya.
Malah lenggok irama Melayu yang dikira unik, yang dikenali sebagai 'cengkok', datangnya dari muzik India.
Alat muzik Melayu seperti akordion, biola, mandolin dan sebagainya juga bukan asal Melayu.
Maka dengan persada yang cukup luas ini, Sri Mahligai, yang hanya dikenali sebagai kumpulan muzik tradisional, akan menyerantau melalui konsert 'Sacred Or Otherwise - Muzik Tanpa Sempadan' yang diisi padat dengan berbagai rentak dari zapin, inang, joget, asli, dangdut hingga ke reggae, rock dan juga mambo, samba, rhumba, tango, flamenco dan muzik dunia.
Keunikan konsert 'Muzik Tanpa Sempadan' ini sebenarnya terletak kepada konsepnya yang tidak tertakluk atau terbatas kepada muzik Melayu sahaja, tetapi merangkumi berbagai sempadan, bahasa dan budaya yang cukup jauh dan berbeza, dari tradisional, klasik hingga ke pop moden.
Konsert ini akan memaparkan adunan muzik etnik berbagai rentak di samping melalui kembali lagu2 klasik dari seniman2 yang telah menjadi sumber inspirasi ahli2 Sri Mahligai seperti Eric Clapton, Sweet Charity, Paul Simon, M Nasir, Van Halen dan juga P Ramlee. Cukup luas dan berbeza, inilah unsur2 yang telah membina Sri Mahligai untuk mereka kembali kepada lagu2 tradisional.
Terdapat beberapa segmen menarik dalam konsert ini termasuk 'tribute' kepada pelopor muzik rock 70an Sweet Charity melalui lagu Raja Kumbang dan Kamelia, muzik latin gendang genderang rancak yang semakin popular, yang dikenali sebagai 'batucada' juga akan menyemarakkan konsert ini dan tak lupa juga, beberapa lagu malar segar seperti Nak Dara Rindu nyanyian P Ramlee dan Kamelia, anthem rock Sweet Charity, akan disuntik dengan gubahan terbaru ibarat muzik orkestra.
Ingat lagi dengan lagu mendayu2 Nak Dara Rindu nyanyian Tan Sri P Ramlee? Bayangkan saja jika dialunkan oleh sebuah orkestra secara 'live' :
Tanjung Katong... Hai airnya biru...
Tempat mandi... Nak dara jelita...
Sama sekampung... hai sudah di rindu...
Inikan lagi.. hai jauh di mata...
Disamping membawa kembali lagu2 yang telah sedikit sebanyak menjadi sumber inspirasi untuk ahli2 Sri Mahligai, mereka juga akan mendendangkan beberapa lagu mereka sendiri, termasuk Menganyam Pelangi, yang mempunyai unsur2 KeSingapuraan Melayu, Cina dan India, dan Zapin Hip Hop, yang mendapat sambutan hangat pada persembahan Gentarasa 2005 Langit Nan Terjunjung.
Sri Mahligai akan dibantu oleh pemain seruling yang semakin popular Md Hafiz Jamat dan juga Seksyen Biola dari Orkestra Melayu Singapura yang dipimpin oleh Ismalia Putri Ishak. |